Aku hampir ditembak kerana memilih untuk bertudung

loading...


Assalamualaikum.

Saja nak share kisah yang mungkin agak panjang tapi akan cuba dipendekkan. Aku merupakan pelajar perubatan di luar negara. Sepanjang berada di negara minoriti muslim ni, aku rilex je, takde masalah² yang complicated...alhamdulillah. Biasalah untuk student oversea ni, akan ambik masa untuk adapt dengan suasana universiti, language, cuaca and untuk muslim terutamanya, persepsi dan pandangan masyarakat bila kita muncul ditengah-tengah masyarakat dengan ‘hijab/tudung’.

Teringat masa tahun pertama, masa tu aku join satu program di masjid tempatan. Kecil je masjid kat tempat aku belajar ni. Best jugak sebab dapat jumpa muslim dari negara lain. Masa makan, aku duduk semeja dengan sorang makcik dari Palestin dan anak kecilnya. Dia baru berhijrah ke negara ni disebabkan kemelut di negaranya.

Sedang berbual-bual dia tanya aku (semua perbualan dalam English dah diterjemakan ke BM), “Kenapa awak pakai hijab ni?” Aku terkebil-kebil pandang dia sebab aku ni jenis yang kalau jawab soalan orang, kalau boleh nak ikut tujuan dia tanya, contoh kalau dia provoke, ada cara untuk kita handle. Tapi yang aku pelik, makcik ni pun berhijab penuh dan aku tak rasa dia nak provoke. Mungkin lama sangat tunggu jawapan and dia tengok aku macam blur, dia jawab, “Mestilah sebab Allah, sebab tu walaupun awak jauh dari pandangan mak ayah, awak tetap berhijab. Allah di sini dan Allah di Malaysia kan sama. Kalau awak pakai sebab parents, mesti awk dah bebas sekarang, sebab kalau awak nak bukak tudung pun bukan diorang tahu. Mesti awak buat sebab Allah”. Aku termalu sendiri.

Setelah itu, makcik tu meluahkan rasa kagum dengan anak-anak Malaysia yang katanya kebiasaannya masih menutup aurat sempurna walaupun berada di negara asing minoriti Islam. Bukan sekali, malah pernah ada kawan dari Iran meluahkan perkara yang sama. Dia juga kagum kerana katanya walaupun dinegaranya, hijab diwajibkan kepada semua wanita, kebanyakkan yang berhijrah ke negara luar akan mula merasa kebebasan dari ‘undang² negara’ dan membuka aurat. Sejak itu, perjalanan hidup aku di negara asing ini berubah. Bukan sekadar mahu menggenggam segulung ijazah, aku nak cari erti hidup sebenar dan nak lebih mengenal “Allah yang sama” yang dimaksudkan makcik tu.

Hijab tak pernah menjadi masalah untuk aku sepanjang berada di negara ini. Aku berkawan baik dengan classmate non-muslim, malah aktif mengikuti program kelab Islam yang ada kalanya memerlukan aku bercerita mengenai hijab kepada mereka. Pendek kata, aku ‘confident’ untuk tampil berhijab ditengah-tengah masyarakat yang mungkin tak pernah tahu pun pasal Islam.

Tapi, semuanya berubah. Pada November 2015, berlaku serangan oleh ‘terrorist’ di Paris. Sehari selepas kejadian, bila tengok FB, ramai rakan² non-muslim mengubah profile picture berlatar belakangkan bendera Paris, tanda berkabung dan sokongan moral terhadap peristiwa itu. Entah kenapa, hati aku tiba² jadi takut yang amat sangat, berbagai persoalan timbul. Adakah diorang akan anggap aku terrorist? Diorang dah tak nak kawan dengan aku ke sebab ingat aku pun jahat? Mesti diorang suspek ada bom dalam bag aku?

Masa tu, aku tengah rotation Psychiatry pulak tu. Ditakdirkan Allah, disaat orang lain semua ada partner attachment, aku sorang diri! Aku kena attach dengan seorang consultant psych ni sorang². Ingat lagi hari pertama jumpa Dr.V ni masa dalam Multidisciplinary Team (MDT) meeting. Dalam perubatan , ahli² MDT ni akan duduk bincang pasal sorang² patient, apa penyakitnya dan apa rawatan yang perlu diambil. Boleh tak, salah satu conclusion kepada meeting hari tu adalah “Semakin ramai patient kita yang ada hallucination berkenaan dengan TERORRIST(T)”. Once diorang sebut je perkataan T tu, entah kenapa aku rasa bersalah dan rasa macam akulah T tersebut dan akulah punca kepada hallucination pesakit² tu. Maka aku tunduk je sampai meeting habis. Takut nak angkat muka pandang orang lain. Dah la obviously aku sorang je pakai tudung dalam meeting meja bulat tu.

Bulan tu automatik menjadi bulan paling tension buat aku. Dah la sorang², hari² kena jumpa pesakit² yang ada mental illness pulak tu. Aku punya takut sampai jalan kaki nak ke hospital, aku akan pakai hoodie sentiasa walaupun tak hujan, dengan harapan orang tak dapat detect yang aku pakai hijab. Aku sengaja pilih tudung colour malap² je bila nak jumpa patient² nih. Sebab aku dah ada bayangan dah, seolah-olah diorang ni akan serang aku bila nampak aku pakai hijab sebab ingat aku T. Sampai tidur pun termimpi-mimpi. Pernah sekali ni aku mimpi yang aku ada kat sebuah negara ala² Palestin, yang mana tentera dia akan bunuh semua orang Islam, dan perempuan yang pakai hijab sebab obviously lah Islam. Dalam mimpi tu, aku cadangkan kat kawan² untuk bukak tudung sebab darurat. Tapi kami memilih untuk tetap memakainya dan akhirnya kami dikepung. Aku terjaga dari tidur bila muncung senapang tu betul² depan muka. Nampak tak aku punya hati yang makin mengecut sejak Paris attack tu. Aku pun confuse, adakah aku yang ada mental illness ?

Pernah sekali aku sorang² kat town balik hospital, ada sorang lelaki besar sangat badan dia datang dekat sangat dengan aku. Dia sentuh tudung aku dengan muka yang bengis dan tanya “Apa yang awak pakai ni?”. Aku pun jawab jelah “Hijab”. Dia tanya lagi kenapa aku pakai, aku pun dengan ‘confident’(dalam hati redha dan harap Allah lindung) “Because I’m a Muslim”. Muka dia tiba² berubah dan tanya lagi, “Oooo, muslim? Terrorist?”. Aku pandang jauh dalam mata dia dan rasa kesian, sebab aku tahu banyak non-muslim negara ini yang hanya tahu TERORRIST=ISLAM. Itu apa yg media tampilkan. Aku kesal sebab tak pernah usaha sungguh² untuk terangkan kepada mereka Islam yang sebenar. Ohh, aku selamat je lepas tu sebab lelaki ni mabuk sebenarnya, dia pergi kacau orang lain pulak lepas tu. Dan aku pun terlepas peluang untuk terang lebih lagi sebab orang kalau dah mabuk, memang tak payah la layan.

Satu hari, aku jumpa sorang pesakit ni, dia ada Bipolar Affective Disorder(BPAD). Aku namakan dia J. Susah sebenarnya nak built report dengan pesakit² mental problem ni. Awal² tu J banyak nangis je dan keep saying that “Aku kena kurung je kat sini (hospital sakit jiwa), diorang semua bukan boleh tolong aku, kau pun mesti tak boleh tolong aku jugak”. Lama² bersembang, baru J mula bukak cerita sikit². Untuk pengetahuan, dulu² aku pernah terlibat dengan Deliberate Self-Harm(DSH), tapi aku sembuh lepas buat solat taubat dan tahu Allah sentiasa ada dengan kita, Tak serious sampai kena jumpa doktor pun. So, aku mudah faham dan menjiwai bila bercakap dengan pesakit² ni. Lepas hampir 45min ‘clerk’ pt ni, aku keluar dan semak fail dia pulak. Pada aku, takde apa yang istimewa sangat hari ini, cam biasa je, pergi hospital, ward round dan clerk pt.

Minggu terakhir rotation, aku memilih untuk naik bas ke hospital sebab cuaca makin sejuk dan siang makin pendek. Aku tunggu bas depan rumah sambil baca buku. Tiba² datang Atuk K. Sebab dah lama tak naik bas, aku dah lama tak jumpa Atuk K yang aku dah anggap macam atuk sendiri. Dulu masa rotation klinik, berminggu-minggu aku naik bas yang sama setiap hari dan selalu jumpa dia. Dia dah tahu aku student medic dari Malaysia yang tinggal jauh dari family. Aku seronok jumpa dia sebab dia akan bagi semangat ala atuk². Hari tu kami berbual lagi macam biasa. Banyk perihal diri nk update setelah lama tak jumpa. Tiba² Atuk K pandang aku dengan wajah simpati dan cakap “Nak, awak belajarlah sungguh². Jangan hiraukan sesetengah orang yang ego dan memilih. Masih ramai lagi pesakit kat luar sana yang tak kisah siapa doctor yang merawat dia, tak kisah warna kulit, bangsa dan agama. Yang penting awak tahu kerja awak, semua akan OK. Sebab ‘belief’ is in here (sambil letak tapak tangan dia ke dada).” Aku mcm biasa blur sikit kenapa tiba² dia raise kan isu tu, tapi baru aku teringat minggu lepas heboh kes sorang pesakit menolak daripada dirawat oleh doktor muslim.

Aku terharu dan cepat² mintak Atuk K ulang lagi kata² dia, dan berakhir lagi dengan “Sebab belief is in here”, dengan tapak tangannya sekali lagi diletakkan k edada. Kadang² aku hairan, kata² dari seorang yg tak tahu sangat pasal Islam itulah yang memulihkan semangat aku yang dah kecut kering ni. Walaupun semakin banyak berita negativ pasal muslim dan Islam, tanpa dipinta, dia masih mahu beri aku dorongan untuk terus kuat menuntut ilmu di negara asing ni. Benarlah, rahmat Allah itu luas.

Beberapa bulan berlalu, aku berjaya mengharungi rotation psych berseorangan di musim dingin yang mencengkam ini. Semangat aku kian pulih, malah aku makin izzah dengan Islam dan dengan hijab yang dipakai. Hijab bukan lagi satu simbolik bagi aku, tapi tanda kepatuhan dan kasih sayang seorang muslimah kepada Allah SWT. Aku sentiasa doakan agar kita semua tetap dalam memilih jalan untuk menjadi hamba yang berserah diri. Sungguh, memilih untuk menjadi muslim pada akhir zaman ini ibarat menggegam bara api, digenggam terasa sakit, tapi kalau dilepaskan, maka terpadamlah…

Oh ya, kenapa aku selitkan juga kisah pertemuan aku dengan J?

Beberapa bulan selepas musim sejuk berakhir, ketika aku bersama 2 orang lagi rakan sekuliah sedang berjalan dihadapan gereja yang terdapat dalam hospital, seorang wanita memanggil kami. Aku seakan mengenali wanita ini, tapi tak cam sangat, so aku anggap mybe dia salah seorang patient yang aku pernah ‘clerk’. Kami risau sebab gaya wanita itu seolah-olah marah dan cemas.

Dia cakap lebih kurang mcm ni, “Beberapa minggu lepas, saya ada jumpa dan bercakap dengan kawan awak semua. Dia macam awak ni la, pakai hijab ni. Saya lega dan tenang dapat bercakap dengan dia. Sebenarnya, saya ada penyakit yang amat kronik, penyakit ni serious, saya nak mintak sangat² awak semua doakan saya selepas solat awak. Nama penuh saya ialah ni………Please3x, sebut nama penuh saya dalam doa awak semua, mintak Dia sembuhkan saya. Sekarang, saya pun nak masuk gereja ni untuk berdoa”. Dia pandang dengan penuh berharap. Kawan saya membalas “Ya, ya. Kami pasti doakan awak. Tapi kalau awak tak keberatan, boleh kami tahu penyakit awk?”. Dia jawab “BPAD” sambil bergegas masuk gereja dengan wajah gelisah (kebiasaan pesakit BPAD).

Pulang ke rumah, aku rujuk buku nota psych yang dah berhabuk, dan ternyata wanita itu adalah J. Aku sentiasa doakan J sembuh dari segala ujian yang membelenggu, dan tak salah kan untuk kita doakan hidayah Allah untuk semua insan yang kita sayang? Tak pernah aku sangka, saat aku diuji dengan keiman dan keIslaman, saat aku goyah, saat Islam dihina, dicerca dan dibenci, masih ada insan kerdil lain yang Allah izinkan menemui rahmat dan ketenangan dalam Islam. Terima kasih Allah kerana menghadirkan J dalam hidup aku walaupun sekejap, mewarnai perjalan aku dalam usaha untuk menemui Engkau. Kepada kita yang sedia lahir sebagai muslim, jom teruskan usaha mencari kebenaran dan belajar, bukan kerana kita tak cukup yakin, tapi sebagai asbab untuk menguatkan keimanan.

– cucu Atuk K

Kredit : http://www.iiumc.com/hampir-ditembak-kerana-memilih-untuk-berhijab/
loading...

0 Response to "Aku hampir ditembak kerana memilih untuk bertudung"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close