Budak trauma diserang babi hutan

loading...
MELAKA TENGAH - Dulu dia pernah rasa bimbang kemungkinan ancaman babi hutan berikutan kawasan semak samun berhampiran rumahnya di Jalan Bunga Raya, Semabok, di sini.

Bagaimanapun, Asmas Salehudin, 38, tidak menyangka kebimbangannya itu menjadi kenyataan apabila ia benar-benar menimpa ahli keluarganya.


Budak trauma diserang babi hutan

Dalam kejadian 31 Julai lalu, anaknya, Muhammad Sufian Anas Asmas, 9, cedera akibat disondol babi hutan yang keluar dari semak samun berkenaan.

Kejadian berlaku di hadapan rumahnya mengakibatkan anaknya cedera teruk di belakang lutut, telinga kiri dan mulut selain belakang badan.

Ekoran kecederaan dialami, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Banda Hilir itu menerima rawatan lanjut di Hospital Melaka selama empat hari.

Sufian yang sudah dibenarkan keluar di hospital kini tinggal di rumah bapa Asmas di Jalan Pulau Senang 3, Semabok, berikutan kini trauma dan enggan pulang ke rumah tempat kejadian itu berlaku.

“Sejak pulang dari hospital, anak saya sukar tidur dan sering teringat-ingat kejadian menimpanya minggu lalu. Lebih merisaukan, dia enggan balik ke rumah kami di Jalan Bunga Raya.

“Rumah itu kami sewa sejak tiga tahun lalu kerana mengenangkan mudah untuk kami sekeluarga berulang-alik ke kedai makan yang saya usahakan tidak jauh dari situ. Tidak sangka pula nak jadi begini. Terpaksalah saya cari rumah lain tetapi buat sementara kami tinggal di rumah ayah dulu,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Jalan Pulau Senang 3, Semabok, di sini, semalam dalam lawatan Ketua Biro Kerajaan Tempatan Keadilan negeri, Fredie Lim.

Sementara itu, Fredie Lim meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) segera mengambil tindakan terhadap keadaan semak samun di kawasan tanah lapang yang terletak di belakang Kompleks Japerun Dun Duyong dan Stesyen Minyak Petronas Semabok itu.

“Saya berharap MBMB segera memberikan notis kepada pemilik tanah terbabit supaya mengemaskan tanah masing-masing.  Jikalau mereka enggan, harap ambil tindakan tegas.

“Saya juga mencadangkan kawasan semak-samun berkenaan dipasang pagar agar binatang liar tidak menceroboh kawasan rumah penduduk yang saya difahamkan tidak kira masa, siang atau malam.

“Begitu juga kepada pihak Jabatan Perhilitan supaya dapat segera memantau dan menghapuskan binatang liar berkenaan. Kita tidak mahu nasib menimpa kanak-kanak terbabit berlaku pada orang lain,” katanya.
loading...

0 Response to " Budak trauma diserang babi hutan "

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close