(TRENDING) Harap FIFA benar Faiz pakai Pakaian Tradisional Melayu pada Majlis Anugerah Puskas

loading...

" Saya akan Bawa Baju Melayu ke Zurich.. " - Harap FIFA benar Faiz pakai Pakaian Tradisional Melayu pada Majlis Anugerah Puskas



Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) berharap calon Anugerah Puskas, Mohd Faiz Subri dibenarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk memakai pakaian tradisional Melayu ketika menghadiri majlis anugerah itu.

Pengerusi ISMMA Datuk Wira Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata mengikut kod pakaian majlis itu, kesemua hadirin lelaki harus memakai pakaian kemas bersama tali leher warna gelap.

Namun, beliau berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh membuat permohonan terlebih dahulu kepada FIFA supaya dapat memberi kelonggaran kepada Mohd Faiz memakai pakaian tradisional Melayu.

"Saya percaya FIFA boleh memberi kelonggaran kepada Mohd Faiz untuk memakai pakaian tradisional Melayu lengkap dengan tanjak dan songket asli Melaka," katanya kepada pemberita selepas menghadiahkan sepersalinan lengkap baju Melayu kepada Faiz di sini pada Selasa.

Beliau berkata sumbangan pakaian bernilai RM3,000 itu juga merupakan pengiktirafan terhadap kesungguhan Mohd Faiz mengenakan busana tradisional Melayu itu di pentas antarabangsa yang disifatkan sebagai semangat jati diri tinggi yang dimiliki generasi muda.

Majlis pengumuman pemenang anugerah Puskas akan berlangsung pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Jan ini dan Mohd Faiz dijangka bertolak ke sana dari Pulau Pinang pada Sabtu ini.

Sementara itu, Mohd Faiz berkata beliau masih menaruh harapan tinggi untuk memakai baju Melayu pada majlis tersebut.

"Saya akan bawa baju ini ke Zurich walaupun FIFA masih belum membuat sebarang keputusan dan jika penganjur membenarkannya pada saat akhir, sekurang-kurangnya saya sudah bersedia," katanya.

Mohd Faiz, anak jati Ayer Hitam, Kedah itu perlu bersaing dengan dua pemain lain ialah Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela untuk mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama merangkul anugerah itu.

Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.


Sejak pertama kali diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun telah dimenangi beberapa bintang dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum tarikh tutup undian pada 8 Jan ini. -- Bernama
loading...

0 Response to "(TRENDING) Harap FIFA benar Faiz pakai Pakaian Tradisional Melayu pada Majlis Anugerah Puskas"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close